Malaysia dikejutkan dengan berita berkenaan penderaan seorang anak kecil oleh Bapa tirinya, dengan tindakan yang agak melampau dan keterlaluan. Mungkin Persatuan Bapa-bapa Tiri Semalaysia perlu buat sidang akhbar bagi mengutuk tindakan tersebut.


Walaupun kes sebegini memang sudah kerap kali berlaku, namun jarang sekali yang berjaya didedahkan. Sebagai bapa, saya juga selalu diuji dengan sikap anak-anak yang kadang-kadang menimbulkan kemarahan. Manusia mana yang tak ada rasa marahkan? Namun setiap tindakan yang diambil perlulah wajar dan tidak menganiaya anak-anak.

Namun kita masih ada pilihan untuk jadi bapa yang baik atau sebaliknya. Anak-anak memang sukar diduga, kita pun begitu juga sewaktu masih kanak-kanak. Jangan jadikan pengalaman masa lalu untuk kita menghukum anak-anak.

Berikut adalah video yang boleh kita jadikan panduan sebagai BAPA, AYAH, DADDY, PAPA, WALID, ABAH DAN BABA.....



Laporan:
KLANG, 12 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki berhubung kes penderaan seorang kanak-kanak berumur tiga tahun seperti yang tersebar dalam sebuah klip video di laman media sosial Facebook sejak semalam. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Jani Ahmad berkata lelaki berumur 32 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Mas, Kapar di sini pada kira-kira 8 malam semalam selepas polis menerima laporan daripada seorang kenalan suspek yang menonton klip video itu.

Beliau berkata ketika serbuan, suspek yang juga bapa tiri mangsa berada bersama kanak-kanak itu.
"Kita tahan lelaki terbabit manakala kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini dan mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mengulas lanjut, Jani berkata polis tidak dapat memastikan tarikh sebenar kejadian yang dipaparkan dalam klip video itu. Beliau berkata ibu kanak-kanak malang tidak dapat dikesan.

Sementara itu, menurut maklumat di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Entri terkini di laman itu turut memaklumkan kanak-kanak berkenaan kini dirawat di HTAR dan diletak di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Klip video lapan minit dan 33 saat itu memaparkan seorang lelaki berbaju biru dan memakai seluar jeans menampar, membaling serta menyepak seorang kanak-kanak yang menangis teresak-esak.
Ia turut memaparkan imej seorang lagi kanak-kanak dan seorang bayi.

Sumber: Bernama dan video di YahooNews