KUALA LUMPUR 9 Dis. - Dakwaan pembangkang bahawa terdapat 300,000 orang India di negara ini tidak memiliki taraf kewarganegaraan adalah satu pembohongan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menurut
Perdana Menteri, menerusi program pendaftaran kewarganegaraan kaum
India yang dilaksanakan kerajaan, sekurang-kurangnya 9,000 orang telah
dikesan.
"Daripada
9,000 ini, 4,500 kita sudah selesai bagi taraf kerakyatan (menerusi
pemberian sijil kelahiran dan MyKad), 2,000 lagi dalam proses.
"Kita
buka pendaftaran ini, sesiapa ada masalah boleh tampil ke hadapan dan
saya bagi jaminan bahawa sesiapa yang layak mendapat kerakyatan, kita
akan proses dan bagi kelulusan tetapi tidak sampai 300,000 orang, dia
tipu," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC Ke-66 di
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Menurut
Najib, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga
merendah-rendahkan kebijaksanaan kaum India apabila berjanji bahawa
jumlah 300,000 orang tanpa kewarganegaraan itu akan dapat diselesaikan
dalam tempoh sebulan selepas pakatan pembangkang mendapat kuasa.
"Dalam
masa sebulan hendak selesai bererti bahawa satu hari 10,000 kes dia
kena selesaikan, maknanya, dia kena cari 10,000 orang, dia akan proses
borang 10,000 orang dan dia kena terima dan beri kelulusan 10,0000
orang, ini jelas merendahkan kebijaksanaan kaum India," katanya.
Menurut Najib, janji pakatan pembangkang adalah janji kosong dan menyifatkannya 'Janji Kampung Buah Pala'.
"Sebelum
pilihan raya 2008, masa kempen, dia (Anwar) kata, kalau pakatan menang,
dalam masa dua minggu selesai masalah Kampung Buah Pala dan penduduk
boleh tinggal di situ selama-lamanya, akhirnya, itu tipu belaka,"
katanya yang memberitahu masalah itu akhirnya terpaksa juga diselesaikan
Barisan Nasional (BN).
Kata
beliau, pembangkang juga tidak menitikberatkan kepentingan kaum India
kerana dalam tempoh empat tahun ini, sebanyak tujuh buah kuil telah
dirobohkan oleh kerajaan pakatan pembangkang termasuk sebuah kuil
persendirian di sebuah rumah di Sepang, Selangor.
Najib
yang juga Pengerusi BN memberi peringatan bahawa setiap undi kepada
pembangkang bermakna menyumbang kepada masa depan negara yang tidak
menentu.
"Satu
undi pembangkang juga bererti orang India dan masyarakat kita tertipu,
janji Kampung Buah Pala akan berlaku lagi, malah pembangkang tiada
agenda perubahan besar untuk negara," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121210/po_03/Pembangkang-bohong-300000-India-tiada-kerakyatan#ixzz2EcByoiZb
© Utusan Melayu (M) Bhd