Dulu ayah memang tak suka kucing, kami pun tak bela kucing sebab ada antara kami yang sakit lelah. Jarang-jarang kucing dapat berumah tangga dengan kami sewaktu kami kecil. Lagipun buat apa nak bela kucing, sebab Ayah sudah ada kami yang lebih comel dari kucing. (hehehe)

Meningkat dewasa, kami pun dah tak semakin comel dan semakin kekok bermain kejar-kejar dengan Ayah. Kini kasih sayang Ayah yang semakin sarat diluahkan kepada seekor kucing, yang dipanggil "DikBok". Mak pula tak berapa suka kucing, tetapi kasih sayangnya tumpah pada kambing, hahaha!

DikBok merupakan kucing jantan yang sangat comel semasa kecil, dan semakin cantik bila besar dengan bulunya yang lembut dan ekor seperti ekor tupai. Menjadi peneman kepada Ayah dan adik-adik yang tinggal di rumah. Manja dan suka dibelai,

Bila balik ke kampung, anak-anakku gemar bermain dengan DikBok sebab keletahnya yang nakal, dan suka bergurau. Paling digemarinya bermain benang dan mengejar "umpan pancing" dengan kelincahan dan gaya yang menarik.

Namun itu hanya tinggal kenangan. 9 Disember 2012 menjadi kenangan paling tragis untuk kami semua. Pada pagi itu, DikBok menunjukkan sikap yang acuh-tak acuh dan meminggirkan diri, walhal pada hari itu ramai yang berada di rumah sebab kami sedang mengacau dodol.

Tiada langsung kelibatnya di dalam rumah, biasanya pada waktu-waktu begitu DikBok akan bermain-main di ruang tamu dan mengacah anak-anak kecil di rumah. Dalam kesibukan itu, tiada sesiapa pun yang perasan dimana DikBok berada.

Lagipun semuanya sedang sibuk menyiapkan dodol dan makan tengah hari. Dalam rancak aku berbual dengan sepupu dan mak saudara yang turut datang pada hari itu, tiba tiba anak buahku menjerit "DikBok mati, DikBok mati, DikBok mati!" sambil menangis teresak-esak.

Dalam kebingungan, aku bergegas meninjau apakah yang sebenarnya berlaku. Ku lihat adikku Ateh memangku DikBok dengan kesan darah di baju dan lantai sambil menangis terseak-esak.Yang lain juga begitu, masing-masing menangis dengan wajah yang masih terkejut dengan apa yang berlaku.

Ayah pula seakan menyesali apa yang telah berlaku, dan meluahkan rasa kesalnya berulang kali dalam keadaan yang masih terkejut. Dalam keadaan panik, dan suara-suara yang tidak membantu, Ayah secara tidak sengaja telah tergilis DikBok yang rupa-rupanya berada di bawah kereta Savvy Ayah.

Menurut cerita isteriku, ketika itu Ayah ingin mengalihkan kereta kerana mengganggu ruang dapur. Selepas mendengar enjin dihidupkan, DikBok cuba keluar tetapi nasibnya malang apabila kakinya tersangkut di bawah tayar kereta depan sebelah kanan. Kepalanya tersepit. Adik-adikku menjerit memberitahu DikBok berada di bawah kereta.

Dalam keadaan tegang, adik-adikku menjerit supaya ayah bergerak ke hadapan. Ayah pula agak keliru, sebab tidak tahu dimanakah lokasi DikBok dan apakah situasi sebenar yang berlaku di luar. Tidak pasti sama ada ayah sudah menukar gear ke hadapan. Namun sebaik sahaja Ayah menekan pedal minyak, kereta itu terus mengundur dan menggilis kucing kesayangan Ayah.

Kepala DikBok pecah, dan matanya tersembul keluar, kakinya terkuis-kuis menahan sakit, tiada lagi wajah comel yang selalu kami lihat. Tidak dapat digambarkan kesakitannya pada saat itu, sekelip mata nyawanya hilang dari jasad.

Kini tiada lagi si comel yang menunggu Ayah pulang dari kerja. Tiada lagi si comel yang akan Ayah peluk dan cium melepas rindu pada anak-anak. Tiada lagi si comel yang akan menunggu Ateh menyiapkan kerja sulaman maniknya sehingga lewat malam.

Yang ada hanyalah kenangan indah kami dengan DikBok (di bawah).