SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum ini menekankan soal 'winnable candidate' berkata, beliau akan memilih calon-calon yang "berbakat dan komited" - barisan yang boleh menggambarkan program transformasi beliau untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusi BN berkata, beliau hanya akan memilih calon-calon yang akan memenuhi tuntutan transformasi yang dapat dilaksanakan sepenuhnya selepas mendapat mandat dalam PRU13.

Mandat semasa BN akan berakhir 28 April di mana jika Najib tidak membubarkan Parlimen sebelum tarikh itu, ia akan bubar dengan sendirinya.

Selepas mengesahkan beliau tidak akan memanggil PRU13 bulan ini, Najib dijangka memanggil PRU13 Mac-April.

"Seperti yang saya katakan, saya mahukan calon yang akan mencerminkan perjalanan transformasi. Tetapi, sepertimana yang anda tahu, bukan semua calon begitu," kata beliau dalam satu temubual eksklusif bersama akhbar The Malay Mail, yang disiarkan hari ini.
Difahamkan, Najib sebelum ini telah menolak sekitar 50 nama daripada senarai calon yang diketengahkan bagi memastikan calon yang dipilih berar-benar berkualiti dan sudah semestinya adalah 'winnable candidate'.

Najib ditanya mengenai penolakan sebahagian calon yang dinamakan oleh Umno, yang diterajui dan parti-parti komponen BN.

Jelas Najib, "tangan saya terikat dalam sesetengah kes."
"Tetapi saya merasakan dan pada keseluruhannya kami akan berupaya untuk menyediakan satu pasukan yang boleh memikat rakyat bahawa kami cukup calon-calon yang berbakat dan komited untuk bekerja dengan saya sebagai satu pasukan untuk menyediakan pembaharuan yang saya janjikan," kata beliau lagi.

Dalam wawancara bersama ahkbar berkenaan,  Najib turut ditanya bagaimana beliau akan meyakinkan pengundi bahawa calon yang dipilih adalah yang paling layak bagi menggantikan penyandang sedia ada serta mampu menggalas perubahan yang ingin dibawa.

"Mereka harus percaya kepada saya. Berdasarkan rekod saya, saya sudah melakukan yang sehabis baik," ujar Presiden Umno, yang juga Perdana Menteri.

Beliau turut diajukan persoalan sekiranya sejarah pahit 2008.

"Saya fikir kali ini, ia berbeza. Saya percaya kita sudah belajar daripada pengalaman lalu dan saya sentiasa mengatakan bahawa suasana politik kita sudah berubah.

"Saya sentiasa mengatakan bahawa era 'kerajaan tahu semuanya' sudah berakhir. Saya percaya kepada itu.

"Oleh itu, jika Umno-BN mahu terus kekal berkuasa, kita mesti menunjukkan perubahan. Perubahan itu adalah perubahan yang tidak dapat ditukar semula. Saya komited ke arah itu," tegas Najib.

Beliau sebelum itu berkata, penting untuk Umno-BN mendapat mandat yang besar daripada rakyat bagi memastikan transformasi yang hendak dilaksanakan dapat dilakukan sepenuhnya apabila mentadbir negara kelak.

Beliau sebelum ini pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2012 menyatakan keyakinan bahawa Barisan Nasional akan menang dengan majoriti dua pertiga jika tidak berlaku sebarang sabotaj dalam parti.
Sumber: 
Sinar Harian Online